MUKADDIMAH
Pertamanya Abah ingin meminta maaf kepada anak-anak Abah yang masih belum berkahwin kerana apa yang akan abah tulis ini agak rahsia dan bersifat maruah peribadi sedikit. Ianya Abah rasakan perlu buat mereka yang baru kahwin, tambahan pula di musim orang ghairah dan sibuk mengadakanWalimatul ‘Urus sekarang ini. Walau bagaimanapun tidak salah orang-orang muda atau remaja untuk mengetahuinya, sekurang-kurangnya mereka tahu dan boleh dipraktikannya apabila telah berkahwin nanti. Insya-AlLah.
BANYAK ORANG BERKAHWIN YANG MENGUTAMAKAN ADAT DARI HUKUM YANG SEBENARNYA.
Amat menyedihkan apabila dewasa ini ramai orang beramal menurut adat resam dan tradisi yang semakin jauh dari bimbingan syariat, terutamanya dalam masalah menghadapi “Malam Pertama Pengantin Baru.” Lantaran kerana itu, lahirlah zuriat (keturunan) yang terlepas dari rahmat dan keredhaan Allah S.W.T. yang akhirnya banyak menimbulkan masalah kepada keluarga dan juga masyarakat dan negara.
Oleh yang demikian Abah merasakan perlu di Facebook ini Abah tulis panduan bagi anak-anak gerakan Abah dengan berpandukan daripada para ulama’ yang muktabar dan sumber-sumber yang shahih menurut Sunnah Nabi S.A.W.
PERKAHWINAN BERTUJUAN UNTUK MELAHIRKAN ZURIAT (KETURUNAN) YANG DIBERKATI ALLAH S.W.T.
Salah satu daripada faedah Islam mensyariatkan perkahwinan ialah untuk menghasilkan zuriat Islam yang soleh dan solehah sapertimana sabda Nabi SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdul Razzak dan al-Baihaqi :
تناكحوا تناسلوا تكثروا فإني مباه بكم الأ مم يوم القيامة
“Benikahlah kamu supaya kamu berketurunan, dan supaya kamu menjadi ramai, kerana sesungguhnya aku akan berbangga dengan kamu terhadap semua umat di hari kiamat.”
Sehubungan dengan itu perlulah bagi pasangan pengantin baru untuk mengetahui adab-adab untuk melahirkan zuriat yang diberkati sapertimana yang diajar di dalam syariat Islam sebelum mereka menjadi terlewat untuk belajar setelah mendapat anak atau cucu, baru nak cari ustaz atau tok guru untuk bertanyakan doa atau cara-caranya.
ADAB-ADAB BERKHALWAT DENGAN ISTERI DI MALAM PERTAMA PERKAHWINAN.
As-Syeikh Prof. Dr. Abdullah Nasih’Ulwan di dalam kitannya; “Tarbiyyatul Awlad Fil Islam” ( Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam ) mengemukakan sepuluh adab yang mesti dilakukan bagi pasangan pengantin bagi menghadapi Malam Pertama Pengantin sapertimana berikut :
1. Sunnat pengantin lelaki meletakkan tangan ke atas kepala pasangan pengantin perempuan, seraya membaca “BISMILLAH” dan mendoakan baginya dengan memohon keberkatan; iaitu menurut sabda yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Abu Daud dan selain mereka daripada Nabi s.a.w. katanya :
إذا تزوجو أحدكم امرأة...فليأخذ بناصيتها، وليسم عزوجل، وليدع بالبركة وليقل :
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهَا وَخَيْرِ مَاجَبَلْتَهَا عَلَيْهِ، وَأَعُوْذُبِكَ مِنْ شَرِّهَا مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ
“Jika seseorang kamu mengahwini seorang wanita, hendaklah dia menyapu bahagian depan kepalanya, membaca nama Allah Azzawajalla serta berdoa dengan memohon keberkatan, dan hendaklah dia membaca : “ Ya Allah..! Ya Tuhanku..! Sesungguhnya aku memohon Engkau akan kebaikannya dan kebaikan yang Engkau ciptakan dia, serta aku berlindung dengan Engkau dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau ciptakan dia.”
2. Sunat bagi pengantin lelaki dan perempuan bersembahyang sunnat dua rakaat, dan sesudah itu mereka sama-sama berdoa kepada Allah S.W.T. ; iaitu sebagaimana Hadis yang dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang baik daripada Syaqiq, katanya : Telah datang seorang lelaki, namanya Abu Hariz, lalu dia berkata : Sesungguhnya aku telah berkahwin dengan seorang anak dara yang muda, dan aku bimbang dia akan membenciku. Maka berkata Abdullah bin Mas’ud r.a. : Cinta itu dari Allah, sedang benci itu dari syaitan. Dia tidak suka kamu melakukan apa yang dihalalkan Allah untuk kamu. Jika engkau jumpa dia nanti, suruhlah dia sembahyang di belakangmu dua rakaat, kemudian bacakan doa ini :
اَللَّهُمَّ بَارِكْ لِيْ فِيْ أَهْلِيْ وَبَارِكْ لَهُمْ فِيَّ، اَللَّهُمَّ اجْمَعْ بَيْنَنَا مَاجَمَعْتَ بِخَيْرٍ، وَفَرِّقْ بَيْنَنَا إِذَا فَرَّقْتَ إِلَى خَيْرٍ.
“Ya Allah..! Ya Tuhanku..! Turunkanlah keberkatan bagiku kepada isteriku, dan turunkanlah keberkatan untuk mereka denganku. Ya Allah..! Ya Tuhanku..! Kumpulkanlah kami berdua selama Engkau mengumpulkan dengan kebaikan. Dan pisahkanlah kami berdua selama Engkau pisahkan kepada kebaikan.”
3. Sunnat bagi pengantin lelaki berlemah-lembut kepada pengantin perempuannya, dan menghidangkan untuknya sesuatu yang boleh dia minum atau makan ; iaitu sebagaimana sabda yang dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya, bahawa Asma’ binti Yazid bin As-Sakan berkata : Saya pakaikan Siti Aisyah r.a. pada malam pengantinnya, supaya dia kelihatan cantik. Lalu Nabi s.a.w. datang menghampirinya, dan membawa secawan susu. Baginda s.a.w. minum susu itu sedikit, kemudian diberinya yang baki kepada Siti Aisyah. Dia malu dan menundukkan mukanya.
At-Termidzi dan An-Nasa’I telah meriwayatkan dengan sanad yang bagus daripada Nabi s.a.w. sabdanya :
اكمل المؤمنين إيمانا، أحسنهم خلقا، والطفهم بأهله.
“Sesempurna-sempurna iman kaum Mu’minin ialah yang paling baik kelakuannya dan yang paling lemah-lembut perilakunya kepada isterinya.”
At-Termidzi telah meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya :
خيركم خيركم لأهله، وأنا خيركم لأهلى.
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik kepada isterinya, dan sayalah orang yang paling baik di antara kamu kepada isteriku.”
4. Di antara adab-adab bersentuhan, hendaklah kedua-duanya menanggalkan pakaian masing-masing, disebabkan tertanggalnya tubuh dari pakaian itu akan lebih merihatkan badan, memudahkan perbolak-balikkan, menambah keseronokkan, serta melapangkan hati isteri.
Yang utamanya, setelah menanggalkan semua pakaian itu, bertutup semula di bawah satu selimut : iaitu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ahmad, At-Tetmidzi dan Abu Daud, daripada Nabi S.A.W. sapertimana sabdanya :
إن الله تعالى حبي ستير يحب الحياء والستر
“Sesungguhnya Allah itu Pemalu, Maha Penutup, Dia suka sifat malu dan sifat suka menutup itu.”
At-Termidzi telah meriwayatkan daripada Nabi S.A.W. sabdanya :
إياكم والتعري، فإن معكم من لايفارقكم إلا عند الغائط، وحين يفضي الرجل إلى أهله، فاستحيوهم وأكرموهم.
“Awas kamu dari telanjang bulat, sebab ada yang bersama kamu yang tidak pernah berpisah dengan kamu, melainkan ketika di tempat buang air, dan ketika seorang lelaki bersatu dengan isterinya, maka hendaklah kamu merasa malu kepada mereka, dan memuliakan mereka.”
Dan ada juga satu Hadis dari Aisyah r.a. yang berkata :
قبض رسول الله [ص] ولم ير مني ولم أر منه.
“Rasulullah S.A.W. telah wafat, sedang baginda tidak pernah melihat tubuhku, dan aku pun tidak pernah melihat tubuhnya.”
Yang menguatkan lagi tentang keutamaan ‘tutup badan’ ; iaitu sebagaimana yang diriwayatkan oleh At-Termidzi dengan sanad yang lemah, iaitu : Apabila seseorang kamu bersatu dengan isterinya, maka janganlah sampai mereka telanjang bulat, sapertimana telanjang bulatnya dua ekor kaldai.
5. Di antara adab bersentuh-sentuhan ; iaitu bersenda-gurau dan berpeluk-pelukan serta bercium-ciuman ( romance ) terlebih dahulu, sebelum mereka bersatu; sebagaimana yang diriwayatkan oleh Mansur Ad-Dailami di dalam Musnad Al-Firdaus, daripada Rasulullah S.A.W. katanya :
لا يقعن أحدكم على امرأته، كما تقع البهيمة. ليكن بينهما رسول، قيل : وما الرسول؟ قال : القبلة والكلام.
“Janganlah hendahnya seseorang kamu menerpa isterinya, saperti menerpanya binatang ( ke atas mangsanya ), tetapi hendaklah ada di antara mereka pengutus ( maksudnya: bunga-bunganya ). Para sahabat bertanya ; Apa dia pengutus itu..? Kata Baginda S.A.W. : Cium-ciuman ( Romance ) dan gurau-gurauan ( cuit-mencuit/gosok-menggosok ).”
Kita dapat simpulkan dari Hadis ini, bahwa sang suami mesti memerhatikan, ketika melakukan perhubungan seks dengan isterinya itu, kesamaan seronok dari isterinya dalam mencapai kelazatan dan keluar mani.
Berkata Imam Ghazali di dalam kitan Al-Ihya’ begini :….Setelah dia mencapai keseronokan untuk dirinya, maka hendaklah dia tidak tergopoh-gopah meninggalkan isterinya, sehingga sang isteri juga mencapai keseronokannya pula. Sebab sang isteri mungkin kelewatan keluar air maninya, kelak syahwatnya akan memberontak, dan membiarkan dia terlantar begitu sahaja adalah satu penyiksaan batin baginya. Perselisihan dalam tabiat keluar mani akan menimbulkan persengketaan selama sang suami selalu saja lebih cepat keluar maninya. Sebaiknya, cuba bermufawakat agar sama-sama semasa keluar air maninya, kerana yang demikian itu akan lebih lazat bagi sang isteri ( berdasarkan kepada pengalaman penulis sendiri )…WalLahu A’lam Bisssawab.
6. Di antara adab-adab jimak ( persetubuhan ), hendaklah suami membaca doa ini; iaitu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Ibnu Abbas r.a. daripada Nabi S.A.W. bersabda :
لو أن أحدكم أتى أهله، قال :
بِسْمِ اللهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا، فإن قضي بينهما ولد لم يضره الشيطان أبدا.
Sekiranya seseorang kamu, apabila mendekati isterinya, lalu dia berdoa begini : “Dengan nama Allah. Ya Tuhanku..!, Jauhkanlah kami dari syaitan, dan jauhkanlah syaitan terhadap apa yang akan Engkau kurniakan kami..!” Kiranya ditakdirkan keduanya memperoleh anak, niscaya tiada akan dibahayakan oleh syaitan sama sekali.
7. Harus dia mendatangi isterinya dengan apa cara sekalipun, selama tempat yang ditujui itu ialah faraj ( kemaluan hadapan ) isterinya, sesuai dengan Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah : Ayat 223 :
نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ وَقَدِّمُوا لأنْفُسِكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ مُلاقُوهُ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ
“Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara Yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal Yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah Sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira Wahai Muhammad) kepada orang-orang Yang beriman.”
Yang memberi erti, supaya kamu mendatangi isteri-isteri kamu itu di tempat penanamannya ; iaitu faraj sesuka hati kamu, sama ada dari hadapan, dari belakang atau dari tepi.
Al-Bukhari telah meriwayatkan darpda Jabir r.a. sabdanya :
كانت اليهود تقول : إذا أتى الرجل امرأته من دبرها في قبلها، كان الولد أحول! فنزلت :[ نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ]، فقال رسول الله [ص] : مقبلة ومدبرة، إذا كان ذلك في الفرج.
“Kaum Yahudi pernah berkata ; ‘Apabila lelaki menyetubuhi isterinya dari belakang ke farajnya, nanti anaknya lahir juling.’ Maka turunlah ayat : Isteri-isteri kamu adalah tempat tanaman kamu, maka perlakukanlah tempat tanaman kamu itu bagaimana yang kamu suka. Lalu Rasulullah S.A.W. bersabda : Dari hadapan dan dari belakang, asalkan yang demikian itu faraj (wanita).”
Sebaik-baik cara berjimak (bersetubuh) ialah si lelaki di atas si perempuan, dan cara ini diambil dari sabda Nabi S.A.W. yang diriwayatkan oleh Ummil Mu’minin Siti Aisyah r.a. iaitu darpdapa Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Musa Al-Asy’ari, katanya Rasulullah S.A.W. bersabda :
إذا جلس بين شعبها الأربع، ومس الختان الختان، فقد وجب الغسل.
“Apabila lelaki menindih di atas kelengkang-kelengkang wanita yang empat (kedua belah tangan dan kaki), dan apabila khitan menyentuh khitan, maka sudah wajiblah mandi.”
8. Jika dia ingin mengulangi jimak, maka sunat baginya berwudhuk terlebih dahulu, kerana yang demikian itu akan menyegarkan tubuh semula; iaitu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud daripada Nabi S.A.W. sabdanya :
إذا أتى أحدكم أهله، ثم أراد أن يعود، فليتوضأ بينهما وضوءا، فإنه أنشط للعود.
“Apabila seseorang kamu mendatangi isterinya, kemudian dia ingin mengulangi sekali lagi, maka hendaklah dia berwudhuk antara keduanya, kerana yang demikian itu akan mencergaskan tubuh untuk kembali semula.”
Akan tetapi, jika mandi lebih utama, iaitu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasa’I daripada Nabi S.A.W. bahawasanya Nabi S.A.W. telah mengilingi semua isterinya pada suatu hari, lalu baginda mandi ketika berada dengan si fulan…dan si fulan…..maka perawi Hadis ini, yakni Abu Rafi’ bertanya ; Wahai Rasulullah ! Mengapa engkau tidak menjadikan kesemuanya satu kali mandi? Jawab baginda : Begini adalah lebih suci, lebih baik dan lebih bersih.
9. Harus juga kedua suami-isteri bermandi sekaligus di dalam satu tempat ; iaitu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Siti Aisyah r.a. katanya :
كنت أغتسل أنا ورسول الله [صٍ] من إناء بيني وبينه واحد تختلف أيدينا فيه، فيبادرني حتى أقول : دع لي، دع لي، قالت : وهما جنبان.
“Pernah aku mandi bersama-sama Rasulullah S.A.W. dari suatu bekas yang sama antaraku dengannya, tangan kami berganti-ganti mencedok air itu, lalu baginda menyiramkanku, sampai aku berkata : Biarkan aku..! Biarkan aku..! Kata Siti Aisyah r.a. lagi : Dan kami berdua junub.”
Harus juga mereka mandi telanjang bersama-sama, tetapi yang utama dengan kain basahan, disebabkan ada hadis Nabi S.A.W. yang diriwayatkan oleh Ash-Habus Sunan kecuali An-Nasa’I berbunyi :
الله أحق أن يستحيى منه.
“Allah lebih berhak untuk dia malu kepadaNya.”
10. Haram atas kedua suami-isteri menceritakan kepada orang lain, cara-cara bagaimana mereka melakukan persetubuhan, sama ada dengan bayang-bayangan, atau secara terus-terang; iaitu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud daripada Nabi S.A.W. sabdanya :
شر الناس منزلة عند الله يوم القيامة الرجل يفضي إلى المرأة، وتفضي إليه، ثم ينشر سرها.
“Seburuk-buruk kedudukan manusia di sisi Alah pada hari kiamat ialah lelaki yang bersatu dengan isterinya, dan isterinya pun bersatu dengannya, lalu dia ( suami ) membocorkan rahsianya ( isterinya itu ) .”
Perlu juga diingatkan bahawa haram atas suami menyetubuhi isterinya pada pantat ( dubur ): iaitu sebagaimana yang dikeluarkan oleh An-Nasa’i dan Ibnu Hibban dengan sanad yang baik, daripada Nabi S.A.W. sabdanya :
لا ينظر الله إلى رجل يأتي امرأته في دبرها.
“Allah tiada akan merahmati lelaki yang mendatangi isterinya pada pantatnya.”
Telah meriwayatkan Ibnu Adiy, Abu Daud dan Ahmad daripada Rasulullah S.A.W. sabdanya :
ملعون من يأتي النساء في محاشهن.
“Terlaknat siapa yang mendatangi kaum wanita di duburnya ( pantatnya ).”
Mudah-mudah berdasarkan panduan syarat dan sunnah di atas, akan lahirlah keturunan-keturunan yang baik-baik serta diberkati oleh Allah buat meneruskan tugas-tugas da’wah dan berjihad pada jalan Allah. Insya-Allah.
Selamat pengantin baru Abah dan Ma ucapkan kepada semua anak-anak abah semua dan sentiasalah berdoa sabagaimana yang diajar oleh Allah S.W.T. di dalam Al-Quran ( Surah Al-Furqan:Ayat 74 ) :
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ: رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Yang bermaksud :
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya, dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang (mahu) bertaqwa.”
WalLahu A’lam Bissawab. Terima kasih kerana sabar dan sudi membaca article yang agak panjang ini.Wassalam.
artikel by - Zahidin Mahmood
artikel by - Zahidin Mahmood